Gudang penyimpanan kabel milik SESB yang terbakar semalam berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
Gudang penyimpanan kabel milik SESB yang terbakar semalam berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Selepas 16 jam, gudang penyimpanan kabel milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Batu 7, Jalan Tuaran, di sini yang terbakar semalam, akhirnya padam sepenuhnya pada 4.30 petang tadi.

Gudang berkeluasan 1.2 hektar itu yang menyimpan stok kabel elektrik pelbagai saiz, dilapor musnah sepenuhnya selepas kebakaran bermula 12.50 tengah hari semalam.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan 72 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Kota Kinabalu dan Penampang terbabit operasi pemadaman itu.

"Jumlah keseluruhan kabel sebanyak 1,426 gelung dan yang terbakar 1,046 gelung, manakala 380 gelung berjaya diselamatkan. Turut terbakar sebuah rumah kosong," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan air daripada jentera, water tanker dan sumber air terbuka iaitu parit dan sungai.

"Kerja-kerja pemindahan kabel SESB dengan menggunakan satu kren dan dua forklift dilakukan oleh kakitangan SESB.

"Operasi ditamatkan pada 4.30 petang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Semalam, Pengerusi SESB, Datuk Seri Madius Tangau dilapor berkata, kabel yang ditempatkan di stor terbuka itu adalah untuk diagihkan ke seluruh negeri, kebanyakannya digunakan membuat penyambungan bekalan elektrik ke rumah pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 6:36 PM