ARIFFIN memeriksa barangan yang diwarta di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Aidilfitri ketika tinjauan , hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin.
ARIFFIN memeriksa barangan yang diwarta di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Aidilfitri ketika tinjauan , hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin.
Hakimi Suria Kencana

Kuala Lumpur: Pasukan 92 pegawai penguat kuasa dipertanggungjawabkan untuk memeriksa dan memantau semua premis perniagaan di ibu negara sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, pasukan itu akan melaksanakan operasi berterusan bagi memastikan tiada pihak melanggar peraturan.

Katanya, sebanyak 19 barangan diwarta di bawah SHMMP bagi Kuala Lumpur yang berkuat kuasa hari ini hingga 19 April.

"Pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2024 ini dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan pemantauan akan dibuat kepada pengeluar, pemborong dan peruncit.

"Jika terdapat individu yang tidak menjual barangan mengikut harga maksimum, boleh dikenakan denda RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau kompaun sehingga RM50,000.

"Bagi syarikat yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," katanya pada sidang media selepas selesai membuat tinjauan SHMMP di pasar raya besar di sini, hari ini.

Ariffin berkata, antara barangan yang tertakluk SHMMP itu adalah daging lembu, daging kerbau, tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, timun, sawi hijau, halia tua import, bawang besar merah import, bawang kuning besar dan bawang putih (China).

Katanya, turut tersenarai ubi kentang import (China), cili kering kerinting, kacang tanah, kelapa biji, kelapa parut, ikan kembung termasuk mabung dan ikan selayang.

Menurutnya, setiap peniaga perlu meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada kesemua 19 barangan yang diwartakan dan kegagalan berbuat demikian boleh didenda sehingga RM10,000 bagi individu dan RM20,000 bagi syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 2:41 PM