ALEXANDER bersama Rosol dan Azman selepas pengumuman Penetapan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri 2022 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
ALEXANDER bersama Rosol dan Azman selepas pengumuman Penetapan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri 2022 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2022 akan dilaksanakan dari 26 April hingga 6 Mei.

Ia akan membabitkan 22 jenis barangan dari kategori hasil laut, barangan kering, daging lembu dan kerbau dan sayuran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, SHMMP HRP 2022 ini berkuat kuasa tujuh hari sebelum perayaan, semasa hari perayaan dan tiga hari selepas perayaan.

Katanya, pada masa kementerian turut Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang berkuat kuasa sehingga 5 Jun sebagai langkah untuk menstabilkan harga ayam dan telur ayam serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran.

"Sebanyak 28 jenis barangan terbabit dalam harga terkawal bagi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam serta SHMMP HRP 2022 ,"katanya pada sidang media pengumuman SHMPP HRP 2022 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Rosol Wahid, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Azman Yusof dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri), Datuk Roziah Abudin.

Alaxender berkata, senarai barangan terbabit adalah daging lembu tempatan (kecuali bahagian batang pinang), daging lembu import (harga maksimum di Sarawak sahaja),daging kerbau import (Harga maksimum di Semenanjung, Sabah dan Labuan sahaja).

Menurutnya, senarai ikan ialah ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara lapan hingga 12 ekor setiap kilogram (kg) ikan selayang (berat antara lapan hingga 12 ekor setiap kg), ikan aya atau tongkol (berat antara 1 ekor hingga 2 ekor setiap kg); ikan Demudok atau Sagai/ Cermin/ Cupak (Sabah sahaja).

Katanya, sayuran-sayuran pula ialah tomato, cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), kacang panjang, terung panjang, timun, halia tua import, bawang merah besar import, bawang besar Holand, bawang putih (China), ubi Kentang Import (China),cili kering,

kacang tanah, kelapa biji (borong sahaja), dan kelapa parut (runcit sahaja).

"Senarai barangan harga terkawal bagi penentuan harga ayam dan telur ayam adalah seperti ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)," katanya.

Menurutnya, bagi telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji) dan telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji).

Katanya, kementerian terus komited untuk memastikan Keluarga Malaysia dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini dan permintaan ke atas barangan tertentu juga dijangka meningkat menjelang perayaan Aidilfitri.

Alexander menegaskan, penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga dari negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 1:50 PM