Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2022, selama empat hari lagi berikutan permintaan orang ramai.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata SHMMP HRP 2022 yang bermula 26 April itu sepatutnya tamat 6 Mei ini, namun ia dilanjutkan sehingga 10 Mei.

"Kita menerima maklumat masyarakat umum merayu supaya SHMMP HRP 2022 dipanjangkan lagi kerana tempoh sehingga 6 Mei tidak mencukupi kerana mereka masih perlu membeli barangan memandangkan masih dalam cuti hari raya.

"Oleh yang demikian, kerajaan memutuskan menambah empat hari lagi tempoh SHMMP HRP 2022 sehingga 10 Mei nanti, " katanya kepada pemberita ketika lawatan ke Stesen Minyak Petronas di Jalan Lingkaran Dalam di sini, hari ini.

Pada 21 April lalu, sebanyak 22 jenis barangan dilaporkan ditetapkan dijual pada harga maksimum melalui SHMMP HRP 2022 bermula 26 April hingga 6 Mei ini.

Alexander dilaporkan berkata, ia membabitkan barangan bagi kategori hasil laut, barangan kering, daging lembu dan kerbau serta sayuran.

Turut dikuatkuasakan dalam SHMMP HRP 2022 adalah enam barangan harga terkawal bagi penentuan harga ayam dan telur ayam yang ditetapkan sebelum ini.

Senarai barangan dikawal membabitkan daging lembu tempatan (kecuali bahagian batang pinang), daging lembu import (harga maksimum di Sarawak sahaja), daging kerbau import (Harga maksimum di Semenanjung, Sabah dan Labuan sahaja).

Ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara lapan hingga 12 ekor setiap kilogram (kg) ) ikan selayang (berat antara lapan hingga 12 ekor setiap kg), ikan aya atau tongkol (berat antara seekor hingga dua ekor setiap kg), ikan Demudok atau Sagai/ Cermin/ Cupak (Sabah sahaja).

sayuran-sayuran pula membabitkan tomato, cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), kacang panjang, terung panjang, timun, halia tua import, bawang merah besar import, bawang besar Holland, bawang putih (China), ubi Kentang Import (China), cili kering, kacang tanah, kelapa biji (borong sahaja), dan kelapa parut (runcit sahaja).

enteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kiri) memberi penerangan minyak Petrol Ron95 untuk kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia dalam lawatannya di sebuah stesen minyak di Jalan Lingkaran Dalam di sini. FOTO OMAR AHMAD
enteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kiri) memberi penerangan minyak Petrol Ron95 untuk kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia dalam lawatannya di sebuah stesen minyak di Jalan Lingkaran Dalam di sini. FOTO OMAR AHMAD

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 2:12 PM