RUSLI (kanan) menyumbang kerusi roda untuk kegunaan Man sambil diperhatikan Zainab. FOTO Mohd Khidir Zakaria
RUSLI (kanan) menyumbang kerusi roda untuk kegunaan Man sambil diperhatikan Zainab. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


KASIH ibu sepanjang hayat, perumpamaan ini amat sesuai kepada dua beranak warga emas yang hidup serba kekurangan di sebuah pondok usang berhampiran pekan Pasir Panjang, Port Dickson.

Zainab Jamal, 85, menjaga anaknya tunggalnya, Abd Rahman Nadyin, 61, yang terlantar selepas diserang penyakit angin ahmar sejak setahun lalu.

"Saya tak tahu sampai bila mampu menjaga anak yang hanya terbaring akibat angin ahmar.

"Sedih mengenangkan nasib anak jika saya terlebih dulu dijemput ajal namun sisa usia yang ada ini, saya akan pastikan Man (Abd Rahman) ada makan dan minumnya setiap hari," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) di rumahnya, hari ini.

Katanya, Abd Rahman pernah bekerja sebagai pramusaji di Kem Tentera di Port Dickson yang masih belum berkahwin tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Zainab berkata, adiknya, Ciknon Jamal, 83, tinggal bersebelahan seperti dirinya juga uzur.

"Kami hanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 dan Baitulmal RM400 sebulan.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Linggi, Rusli Abdullah menyumbang kerusi roda kepada Abd Rahman.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pasir Panjang, Khairulnizam Mohamad berkata, pihaknya kerap melawat dan menghulurkan bantuan kepada keluarga Zainab sejak dua tahun lalu.

"Biasanya pihak MPKK hanya membawa barangan makanan dan keperluan asas untuk keluarga ini, tetapi baru sekarang kami dimaklumkan mereka perlukan sebuah kerusi roda untuk kegunaan Abd Rahman.

"Keperluan kerusi roda itu saya maklumkan kepada Penyelaras Dun, Rusli Abdullah dan dia setuju untuk serahkan hari ini," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, keluarga itu sentiasa dibantu bagi mengurangkan bebanan mereka yang hanya bergantung kepada sumbangan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal negeri.

"Orang kampung pun tahu kami sentiasa membantu keluarga ini terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 7:09 PM