Alias Abd Rani

Muar: Pekerja kedai makan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol kenalan wanita di sebuah hotel bajet di Batu Pahat, bulan lalu.

Tertuduh Muhamad Raffie Md Elias, 19, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Sebelum itu, mahkamah ditangguh seketika selepas tertuduh berdiam diri walaupun beberapa kali ditanya sama ada mahu mengaku bersalah atau sebaliknya terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa wanita berusia 15 tahun lima bulan di hotel bajet terbabit pada 1.30 pagi, 23 Mac lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan memohon tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh kerana kes ini amat serius.

Mahkamah tidak menawarkan ikat jamin dan menetapkan 5 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 3:16 PM