CHE Heng dibawa keluar selepas tak mengaku salah merogol kenalan media sosial di sebuah hotel di Batu Pahat. FOTO Alias Abd Rani
CHE Heng dibawa keluar selepas tak mengaku salah merogol kenalan media sosial di sebuah hotel di Batu Pahat. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: Seorang tenaga pengajar kecergasan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan bawah umur yang dikenali melalui media sosial dalam hotel di Batu Pahat, Mac lalu.

Loh Che Heng, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan itu, tertuduh yang masih bujang didakwa merogol kenalannya berusia 16 tahun itu di sebuah hotel di Jalan Maju Barat, dalam daerah Batu Pahat, pada jam 6 petang, 2 Mac lalu.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan kes ini adalah serius kerana mangsa bawah umur atau mengenakan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dan memerintahkan tertuduh melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat setiap bulan serta tidak boleh mengganggu mangsa atau keluarganya sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 14 Januari depan untuk sebutan semula serta serahan dokumen berkaitan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 1:50 PM