MOHD Rahmat dan isteri dalam misi kembara bermotosikal sejauh 14,000 km dari Jelebu ke Makkah selamat tiba disempadan Loas-China. FOTO Ihsan Mohd Rahmat
MOHD Rahmat dan isteri dalam misi kembara bermotosikal sejauh 14,000 km dari Jelebu ke Makkah selamat tiba disempadan Loas-China. FOTO Ihsan Mohd Rahmat
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Pasangan suami isteri yang melakukan kembara dari Jelebu ke Makkah dengan bermotosikal sejauh 14,000 kilometer bagi menunaikan haji selamat tiba di sempadan Laos-China kira-kira 4 petang hari ini (waktu tempatan).

Mohd Rahmat Mohammed Amin, 38, dan isteri, Nurazlinda Mohamad, 36, dari Taman Bukit Mohagani di sini, dijangka memasuki sempadan Mohan, China dari Boten, Laos pagi esok sebelum meneruskan perjalanan sehingga ke Jinghong sejauh lebih kurang 200 km dan bermalam di sana.

Mohd Rahmat ketika dihubungi berkata dia dan isteri dalam keadaan sihat, malah kondisi motosikal Yamaha Fz 150 mereka juga dalam keadaan memuaskan.

Menurutnya jika tiada apa halangan , mereka akan memasuki Tibet pada 31 Mac ini sebelum meneruskan perjalanan ke Nepal melalui Himalaya.

Katanya, dia dimaklumkan laluan Tibet-Himalaya hanya akan dibuka kepada umum bermula 1 April ini berikutan kerja membersihkan laluan akibat salji tebal sedang dijalankan.

Pasangan suami isteri itu dijangka sampai ke sempadan Nepal pada 6 April ini sekiranya perjalanan berjalan lancar.

Mohd Rahmat berkata, sebelum ini dia pernah menunaikan umrah bersama isteri dengan pesawat sebelum memasang impian ke Tanah Suci melalui jalan darat.

Katanya, dia dan isteri juga memutuskan menggunakan laluan Tibet-Himalaya yang dipercayai lebih ekstrem pada kembara yang bermula 19 Mac lalu.

"Kembara sejauh 14,000 kilometer itu merentas 13 negara bermula dari Malaysia dan berakhir di Arab Saudi dengan sasaran tiba di Makkah pada 5 Mei," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 9:23 PM