AZWA dan Zakiamin yang dalam pengembaraan ke tanah suci Makkah merentasi tujuh negara menggunakan Proton Wira berusia 26 tahun menyambut 1 Syawal di Nepal. FOTO Azwa Ahmad
AZWA dan Zakiamin yang dalam pengembaraan ke tanah suci Makkah merentasi tujuh negara menggunakan Proton Wira berusia 26 tahun menyambut 1 Syawal di Nepal. FOTO Azwa Ahmad
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Pengalaman meraikan Aidilfitri dalam misi perjalanan ke Makkah melalui jalan darat di Kathmandu, Nepal memberikan pengalaman berbeza namun meninggalkan kenangan paling manis dalam hidup suami isteri ini.

Azwa Ahmad, 52, dan suami Zakiamin Harun, 56, menyambut 1 Syawal di negara berkenaan, bersama keluarga rakannya di bilik hotel dan mereka menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Jamek Nepal bersama penduduk tempatan.

Azwa berkata, ketika ini hanya dia dan suami bersama rakan dan keluarganya berada di Nepal kerana kenderaan mereka mengalami kerosakan, manakala rakan lain sudah meneruskan perjalanan masing-masing secara berasingan.

"Suasana Aidilfitri di negara orang memang sangat jauh berbeza namun masih tetap meriah dengan dekorasi Aidilfitri biarpun tidak sama seperti negara kita.

"Di masjid itu memang ramai orang solat dan kami gembira dapat rasa suasana itu.

"Ini adalah tahun keempat saya beraya di luar negara cuma kali ini agak berbeza kerana di Nepal, manakala sebelum ini di Madinah dan Makkah yang memang negara Islam jadi suasana Aidilfitri di sana lebih meriah," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dia membawa kuih raya seperti tart nanas, kuih siput dan kerepek bawang dari Malaysia selain rendang siap dimasak sebagai persiapan Aidilfitri.

Katanya, biarpun sederhana tetapi suasana itu masih tetap dapat dirasai.

"Rakan kami iaitu Kamal, pemandu Perodua Axia bersama isteri dan anak lelakinya datang beraya di bilik hotel kami dan kami makan kuih raya bersama.

"Pengalaman beraya di Nepal sangat mahal dan sebenarnya kami tak jangka akan beraya di Nepal kerana jangkaan awal kami akan menyambut Aidilfitri di India bersama rakan lain cuma kereta kami ada kerosakan itu sebab itu pelan berubah.

"Pastinya kami teringat menu hari raya terutama rendang dan lemang tetapi adat mengembara tidak semua kita boleh dapat seperti di negara asal.

"Kami juga membuat panggilan video dengan anak dan mak untuk saling bermaafan," katanya.

Menurut Azwa, dia dan suami dijangka berada di Nepal empat hingga lima hari lagi kerana kenderaannya belum siap di baiki.

Sementara, rakannya, Kamal akan meneruskan perjalanan ke India selepas kereta mereka siap dibaiki.

"Kami teruja dan tak sangka di Nepal ada bengkel kereta Perodua, malah alat ganti kenderaan kami yang rosak juga ada di sini.

"Saya difahamkan bengkel itu sebelum ini menjadi pengedar kereta jenama itu di Nepal.

"Ketika kereta rosak memang susah hati mahu cari bengkel yang ada alat ganti sesuai, namun rasa bersyukur melebihi rasa susah hati apabila Allah SWT temukan kami dengan bengkel kereta berkenaan," katanya.

Berkongsi perkembangan misi kembaranya, Azwa berkata, perjalanan di Nepal sangat mencabar terutama laluannya di lereng bukit dan jalannya juga banyak batu besar hingga boleh menyebabkan kerosakan kepada kenderaan mereka.

"Perjalanan sejauh 60 kilometer (km) mengambil masa hampir empat jam dan kami memang tak bawa laju kerana keadaan laluannya yang sangat mencabar dan mengerikan. Selepas ini kami akan meneruskan perjalanan ke India pula.

"Di India kami mungkin akan berjumpa semula beberapa rakan (misi kembara itu) dan sasaran saya di India mahu ke Taj Mahal yang menjadi antara impian saya untuk melawat bangunan berkenaan," katanya.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan, suami isteri itu nekad mahu keluar dari zon selesa untuk mengembara ke tanah suci Makkah sejauh lebih 13,000 kilometer (km) merentasi tujuh negara menggunakan Proton Wira berusia 26 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 6:46 PM