Kawasan Air Terjun Lubuk Semilang, Langkawi hampir kering-kontang susulan pulau itu tidak menerima hujan lebih 22 hari. FOTO HAMZAH OSMAN
Kawasan Air Terjun Lubuk Semilang, Langkawi hampir kering-kontang susulan pulau itu tidak menerima hujan lebih 22 hari. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


Langkawi: Cuaca panas berpanjangan di daerah ini dan ketiadaan hujan sejak 22 hari lalu menyebabkan Air Terjun Lubuk Semilang di sini, hampir kering-kontang.

Tinjauan mendapati, kawasan rekreasi itu yang sering dikunjungi penduduk dan pelancong kerana keindahannya terutama pada hujung minggu, kini sunyi sepi.

Seorang pengunjung, Mohamad Salleh Yunus, 41, berkata, kunjungannya bersama cucu, Danial Rayyan Ikhwan, 2, untuk mandi-manda hampa apabila paras air sungai setakat kekura kaki.

"Cucu saya nak mandi air terjun di sini, tapi tidak kesampaian kerana sungai hampir kering, malah hilang seri apabila tiada lagi kedengaran bunyi deruan air terjun.

"Memang tahun ini cuaca panas agak luar biasa. Selalunya kawasan ini tidaklah sampai ke tahap begini," katanya yang menetap di Kampung Buluh Penyumpit di sini.

Peniaga gerai, Wan Salleh Wan Mansor, 51, berkata, perubahan drastik Air Terjun Lubuk Semilang turut memberi kesan kepada perniagaannya yang bergantung kepada pengunjung kawasan riadah itu

"Sebelum ini saya boleh jual sehingga 100 biji burger sehari, tapi sekarang sejak cuaca panas dan sungai kering, kalau dapat jual 10 biji pun sudah cukup bersyukur.

"Ketika air sungai banyak, ramai pengunjung ke sini terutama menjelang tengah hari untuk mandi dan berkelah, sekarang suasana itu sudah tiada dan kalau berterusan saya pun terpaksa tutup gerai," katanya.

Langkawi antara 16 daerah dilapor tidak menerima hujan melebihi 15 hari susulan cuaca panas dan kemarau berpanjangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 1:56 PM