SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid Kota Kemuning pada Majlis Perasmian Masjid & Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat Dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1445H dan Sambutan Nuzul Al-Quran serta Pelancaran Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza di Masjid Kota Kemuning. FOTO BERNAMA
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid Kota Kemuning pada Majlis Perasmian Masjid & Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat Dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1445H dan Sambutan Nuzul Al-Quran serta Pelancaran Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza di Masjid Kota Kemuning. FOTO BERNAMA
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza sebagai satu inisiatif kerajaan negeri bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bagi membangunkan semula Gaza.

Sultan Sharafuddin berkenan menerima sumbangan dari dana umat Islam Selangor sebanyak RM1.2 juta, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebanyak RM200,000 dan sumbangan peribadi Menteri Besar Selangor sebanyak RM50,000 untuk disalurkan ke tabung berkenaan.

"Beta menyeru kepada rakyat dan semua pihak di Selangor untuk sama-sama membantu meringankan penderitaan dan keperitan penduduk Gaza dengan memberi sumbangan agar kita dapat membangunkan kembali prasarana yang musnah akibat serangan tentera Zionis di Gaza.

"Beta sudah menitahkan agar pengumpulan dan penyaluran sumbangan ini dibuat dan diselaraskan menerusi Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) melalui akaun Maybank Islamic Berhad (562106718620) agar pengurusan serta pengelolaan dana ini dapat dibuat secara tersusun, bertanggungjawab, telus dan lancar.

"Beta mendoakan semoga Allah S.W.T. memberi ganjaran amal soleh atas infak yang disumbangkan oleh rakyat negeri Selangor untuk membantu umat Islam di Gaza," demikian titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Baginda berkenan melancarkan tabung berkenaan di Majlis Perasmian Masjid & Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat Dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1445H dan Sambutan Nuzul Al-Quran serta Pelancaran Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza di Masjid Kota Kemuning, di sini hari ini.

Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut kenyataan itu Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza akan membabitkan tiga projek pembangunan di atas tanah wakaf di Gaza yang memerlukan dana berjumlah RM8.7 juta.

Pembinaan 1 blok Apartment Darul Ehsan (RM3.0 juta), Masjid Darul Ehsan (RM4.0 juta) dan Menara Tangki Air Darul Ehsan (RM1.7 juta).

Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin berkenan merasmikan dan menamakan masjid yang terletak di Jalan Anggerik Vanilla Seksyen 31 itu dengan nama Masjid Kota Kemuning.

Pembinaan masjid yang mampu memuatkan sehingga 4,000 jemaah dalam satu-satu masa itu bertujuan menampung kariah Kota Kemuning yang sebelum ini bersolat di Masjid An-Naim, Jalan Kebun.

Peningkatan populasi serta jarak yang jauh mendorong kepada pembinaan Masjid Kota Kemuning pada 2017 dan siap dibina pada November 2022, sedikit lewat dari perancangan asal kerana pandemik Covid-19.

Jumlah keseluruhan kos pembinaan masjid di atas tanah dengan keluasan 2.0234 hektar (5 ekar) ini sebanyak RM18 juta.

Dalam majlis berkenaan baginda juga berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya berjumlah keseluruhan RM238,000 kepada seramai 476 penerima sumbangan dari daerah Klang.

Dari jumlah itu, seramai 136 asnaf fakir, 225 asnaf miskin dan 115 saudara baharu menerima sumbangan RM500 setiap seorang.

Sultan Sharafuddin kemudian menunaikan solat Maghrib, Isya' dan solat sunat tarawih bersama rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 8:40 PM