SULTAN Sharafuddin berkenan melihat replika bangunan Pusat Jantung Hospital Serdang. FOTO Bernama.
SULTAN Sharafuddin berkenan melihat replika bangunan Pusat Jantung Hospital Serdang. FOTO Bernama.
Noor Atiqah Sulaiman


Serdang: Hospital Serdang kini dijenamakan semula dan dikenali sebagai Hospital Sultan Idris Shah Serdang.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan merasmi dan menjenamakan semula hospital yang siap dibangunkan pada 2005 itu.

Dalam titahnya, baginda turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan kerana sudi menamakan hospital itu bersempena dengan namanya.

"Beta juga bersyukur kerana Pusat Kardiologi Hospital Sultan Idris Shah yang dinantikan masyarakat di Lembah Klang dan sekitarnya sudah siap dibina dan beroperasi dengan baik.

"Dengan terbinanya Pusat Kardiologi ini, ia akan menjadi pelengkap kepada blok hospital sedia ada dan rakyat jelata khususnya penduduk Selangor mempunyai pilihan kemudahan hospital awam yang dilengkapi rawatan perkhidmatan jantung dengan peralatan canggih dan berteknologi tinggi berbanding sebelum ini yang hanya bergantung kepada Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

"Beta harap dengan terbinanya Pusat Kardiologi ini, ia dapat meningkatkan taraf penyampaian perkhidmatan kesihatan dan mengurangkan masa menunggu bagi rawatan pesakit jantung di Selangor," titah baginda.

Hadir sama Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Pada majlis berkenaan, kedua-dua baginda turut berkenan meluangkan masa lebih sejam bagi melawat Galeri Kapsul Masa, Unit Radiologi Jantung dan Makmal Non Invasif Kardiologi.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut berharap kerjasama strategik antara hospital dengan fakulti perubatan universiti bagi kepakaran bidang lain.

"Beta dimaklumkan Hospital Sultan Idris Shah mempunyai kerjasama strategik dengan Fakulti Perubatan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia dan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah.

"Kerjasama ini membabitkan latihan dan penempatan pelajar Prasiswazah dan Siswazah (Perubatan dan Kejururawatan). Kerjasama ini diharap dapat diperluaskan juga kepada fasiliti yang meliputi perkhidmatan bidang kepakaran lain.

"Dengan cara ini, doktor dan jururawat terlatih dapat mengamalkan perawatan pesakit yang selamat dan mempunyai etika kerja yang profesional," titah baginda.

Baginda turut menasihatkan petugas di hospital berkenaan untuk terus bersabar melayani karenah pesakit yang menerima rawatan di pusat perubatan itu.

"Beta menyedari tugas seorang doktor di hospital adalah amat mencabar dan memerlukan kesabaran tinggi apabila memberi rawatan kepada pesakit.

"Bagaimanapun beta berkenan petugas kesihatan di Hospital Sultan Idris Shah memberi perkhidmatan yang terbaik dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab serta banyak bersabar untuk menangani kehendak pesakit.

"Beta juga menyeru orang ramai supaya bertimbang rasa dan bersabar apabila mendapatkan rawatan di hospital kerajaan kerana mempunyai ramai pesakit yang memerlukan perhatian tatkala ruang dan bilik rawatan yang terhad," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 3:28 PM