AHMAD Zahid (tengah) menyerahkan sumbangan kepada pelajar tahfiz pada Majlis Sentuhan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Masjid Jamek As Solihin, Kanchong Darat, Banting. FOTO Faiz Anuar
AHMAD Zahid (tengah) menyerahkan sumbangan kepada pelajar tahfiz pada Majlis Sentuhan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Masjid Jamek As Solihin, Kanchong Darat, Banting. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Banting: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan bekas ahli parti itu yang menyamakan kepimpinan Umno dalam kerajaan Perpaduan hari ini sebagai 'biawak hidup'.

Katanya, setiap usaha dan langkah baharu yang dibuat kerajaan pasti mendapat kritikan oleh pihak tertentu termasuk sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

"Padu dilancarkan bagi memastikan subsidi sampai kepada mereka yang menjadi sasaran (menerusi pengenalan subsidi bersasar).

"Tetapi sebaik sahaja ia dilancarkan, wujud kebencian yang mendakwa data peribadi akan digunakan oleh kerajaan, terutamanya Kementerian Ekonomi.

"Semua yang baharu pasti ada cabarannya, dan cabaran itu adalah kita tahu 22 peratus termasuk dalam golongan anti-establishment," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Masjid Jamek As Solihin, Kanchong Darat, Banting dekat sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata sedemikian ketika mengulas kritikan yang diterima kerajaan dalam usaha menangani kenaikan kos barangan dan sara hidup yang dilakukan melalui penubuhan Padu.

Bekas ahli Umno yang dirujuk oleh Zahid dipercayai Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Khairy Jamaluddin menerusi sesi podcastnya bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengemukakan persoalan sama ada persepsi bahawa kerajaan sedang terbeban atau dihalang oleh Umno dan menyamakan parti itu adalah 'biawak hidup' dalam kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid menyerahkan sumbangan Ramadan keseluruhan berjumlah RM13,000 kepada 60 orang anak yatim dan 70 orang pelajar tahfiz daripada kariah Masjid Jamek As Solihin Kanchong Darat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 8:38 PM