GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: REGENERASI melancarkan kempen #MYPalmPride bermula 1 Mac hingga 31 Ogos ini bagi menghapuskan tanggapan salah tentang kesan minyak sawit terhadap alam sekitar selain mempromosikan kemampanannya.

Untuk itu, tujuh Ahli Majlis Belia REGENERASI yang berpangkalan di Malaysia dilantik sebagai duta kempen bagi memberi kesedaran kepada belia Malaysia tentang amalan mampan dalam pengeluaran minyak sawit Malaysia serta peranan positifnya terutama kepada ekonomi negara.

Mereka ialah Presiden Majlis Belia REGENERASI, Hoh Jia Da; Timbalan Presiden Majlis Belia REGENERASI, Latt Omar Latt Shariman; dan Naib Presiden Majlis Belia REGENERASI, Hiffni Ariff Normas Yakin.

Selain itu, Ahli Majlis Belia REGENERASI, Wan Nazyh Iman Wan Adi; Emira Aisya Abdul Jamal; Kuhaneshwary serta Theva Rajamanickam turut dilantik.

Kempen ini turut diperluaskan di luar negara menerusi perwakilan kempen, Pengarah Hal Ehwal Alam Sekitar Majlis Belia REGENERASI, Celine Hoh yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat (AS) serta Pengarah Hal Ehwal Tadbir Urus Majlis Belia REGENERASI, Adam Emir Haziq.

Sementara itu, United Kingdom diwakili pakar falsafah, politik dan ekonomi di University of York, Arif Irsyad Azam serta Ryan Lim Zhi Yan yang masih menuntut di International Relations di University of York.

REGENERASI turut mengumpul pasukan daripada 12 pempengaruh dan Pemimpin Pendapat Utama (KOL) untuk memperluaskan mesej kempen di media sosial.

Hoh berkata, pihaknya yakin bersedia membawa kempen itu ke tahap lebih tinggi dengan adanya sokongan pelbagai pihak.

Sementara itu, Presiden REGENERASI, Datin Emilia Uzir berkata, belia adalah kuasa hari ini dan masa depan.

"Kami membayangkan belia sebagai pembawa obor pembangunan mampan, mereka bukan sahaja menjadi penerima manfaat tetapi arkitek pembangunan di dunia yang perlu mampan," katanya dalam ucapan semasa pelancaran kempen itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Belvinder Kaur Sron berkata, kempen itu bukan saja mengenai minyak sawit, namun memperkasakan belia Malaysia dalam menerajui tangggunjawab untuk kelestarian.

"Melalui kempen ini, saya membayangkan kesan di seluruh negara kita, memberi inspirasi kepada orang lain untuk menyertai gerakan minyak sawit mampan," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), Dr Rizal Affandi Lukman berkata, pihaknya menyokong #MYPalmPride sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran belia dalam minyak sawit lestari.

"Kami mengharapkan kerjasama melalui inisiatif ini kerana CPOPC menggalakkan belia untuk aktif dalam aktiviti minyak sawit mampan," katanya.

Kempen ini menjadi tumpuan utama di media sosial dan pelbagai platform digital berfungsi sebagai hab utama untuk pembabitan belia.

Semua belia Malaysia digalakkan menyertai kempen itu dalam menyokong misi ini dan mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai aktiviti dan peraduan sepanjang tempoh kempen, melalui media sosial REGENERASI.

Sebarang maklumat lanjut boleh layari  https://regenerasi.my dan ikuti media sosial Regenerasi di Instagram, (https://www.instagram.com/regenerasi.my/), Facebook (https://www.facebook.com/regenerasi.my) TikTok (https://www.tiktok.com/@regenerasi.my) dan Youtube. (https://youtube.com/@RegenerasiMY).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 5:45 PM