MALAYSIA dan Indonesia  adalah   dua negara pengeluar utama komoditi sawit di dunia.
MALAYSIA dan Indonesia adalah dua negara pengeluar utama komoditi sawit di dunia.

MALAYSIA sedia berbincang dengan Indonesia untuk merangka strategi terbaik bagi melindungi industri sawit kedua-dua negara dalam masa terdekat, kata  Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, ini selaras gesaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kerangka Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) diperkasakan untuk melindungi kepentingan bersama negara ahli terutama Malaysia dan Indonesia.

CPOPC ditubuhkan bersama Malaysia dan Indonesia pada 21 November 2015 bagi memperjuangkan  isu berkaitan industri sawit.

"Saya berbincang dengan rakan sejawat iaitu Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Airlangga Hartarto untuk  merangka strategi terbaik bagi melindungi industri sawit kedua-dua negara dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Mohd Khairuddin berkata,  Malaysia juga terus bekerjasama dengan Indonesia menentang aspek diskriminasi ke atas minyak sawit sama ada secara dua  hala mahupun hubungan pelbagai pihak.

Malah, tegasnya, Malaysia dan Indonesia yang masing-masing negara pengeluar pertama dan kedua terbesar komoditi itu di dunia juga sentiasa berusaha  mencari kesepakatan dalam membangunkan serta  memelihara industri sawit kedua-dua negara.

Dalam pada itu, beliau  berkata, kementerian  turut menyambut baik gesaan perdana menteri dalam pertemuan dengan Presiden Joko Widodo di Jakarta pada Jumaat  lalu untuk terus mengukuhkan kerjasama kedua-dua negara bagi menentang diskriminasi minyak sawit oleh negara Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain.

Menurut Mohd Khairuddin,  dua  pemimpin terbabit  menzahirkan kebimbangan mengenai kempen antiminyak sawit yang tidak berasas,  tidak menggambarkan kemapanan industri minyak sawit sebenar serta kelestarian alam sekitar yang tetap dipulihara  serta bercanggah dengan prinsip amalan perdagangan bebas digariskan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 7:10 AM