GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia sedia bekerjasama dengan Papua New Guinea bagi menyiasat dakwaan salah laku terhadap syarikat berkaitan minyak sawit Malaysia yang beroperasi di negara itu, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (KPPK) Datuk Willie Mongin.

Beliau berkata setakat ini, KPPK belum mengadakan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan belum dapat memastikan bila dapat memulakan siasatan kerana ia bergantung kepada budi bicara kerajaan Papua New Guinea.

"Walaupun syarikat ini adalah syarikat Malaysia, mereka beroperasi di Papua New Guinea yang di luar bidang kuasa negara kita. Papua New Guinea juga belum menjadi ahli Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

"Kita memang tekad bekerjasama dengan negara ini untuk memastikan syarikat Malaysia mematuhi cara penanaman lestari dan mampan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) yang bertanya sama ada KPPK bersedia menyiasat dakwaan laporan "The True Price of Palm Oil" oleh organisasi hak asasi manusia Global Witness yang diterbitkan pada Oktober 2021 berhubung salah laku syarikat Malaysia di Papua New Guinea.

Willie berkata kerajaan memandang serius salah laku di dalam industri sawit kerana Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN 2030) menekankan tentang pengeluaran sawit secara mampan dengan memastikan segala amalan pertanian baik (GAP), peraturan dan perundangan serta kepentingan kepada alam sekitar dipatuhi oleh semua pihak yang terbabit.

"Sebarang pelanggaran perundangan, peraturan dan pencabulan hak asasi manusia oleh syarikat Malaysia sama ada di dalam negara atau yang beroperasi di luar negara adalah tidak dapat diterima sama sekali.

"KPPK berpegang kepada amalan kelestarian yang ditetapkan dalam DAKN 2030 dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara terbabit untuk mengambil tindakan selanjutnya sekiranya terdapat dakwaan yang berasas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 2:36 PM