GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tawar pulangan antara 30 hingga 70 peratus daripada modal pelaburan. Itu taktik digunakan sindiket penipuan pelaburan dikenali 'Investment HSBC Bank' yang aktif sejak awal tahun.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas polis menahan wanita warga emas dipercayai suspek utama kes berkenaan.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung skim pelaburan terbabit.

"Susulan itu, PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia 60 tahun yang juga suspek utama dalam kes ini pada 25 Mei lalu.

"Berdasarkan siasatan dilakukan, skim pelaburan itu mula beroperasi sejak awal tahun dengan menawarkan pulangan antara 30 hingga 70 peratus daripada modal pelaburan dikeluarkan.

"Skim itu juga menawarkan slot saham yang menjanjikan keuntungan sehingga 100 peratus dalam tempoh 72 jam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorsiah berkata, selepas mangsa membuat pindahan wang, keuntungan yang dijanjikan tidak dibayar.

"Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah membabitkan penipuan pelaburan berkaitan penjualan minyak diesel.

"Suspek direman selama lima hari bermula 26 Mei lalu hingga esok, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau menasihati orang ramai yang menjadi mangsa skim pelaburan itu supaya segera tampil dan membuat membuat laporan di balai polis berhampiran.

"Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan membuat semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

"Dapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti portal semak mule, alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Security Commission (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 5:48 PM