PENGUSAHA spa dijatuhi hukuman denda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
PENGUSAHA spa dijatuhi hukuman denda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang pemilik spa didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengendalikan klinik perubatan swasta tanpa pendaftaran sah.

Tertuduh, Nur Fatin Aliya Zainudin, 22, turut berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyediakan satu klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Dia mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Gong Badak, Kuala Nerus, 2.33 petang pada 30 Oktober lalu.

Sementara itu, di mahkamah sama, tiga lagi pemilik spa berusia antara 25 hingga 42 tahun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama.

Mereka didakwa melakukan itu di lokasi berasingan di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu antara Jun hingga Oktober 2022.

Kesemua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 berdepan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah ketiga-tiga tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 23 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Nozaizeli Abu Samah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 8:24 PM