Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan perkhidmatan rawatan venir pergigian tanpa lesen.

Tertuduh, Norazia Abdul Rahman, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan Hakim Nazlyza Mohd Nazri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan 1998 (Akta 586).

Tertuduh didakwa menjalankan perkhidmatan venir pergigian yang juga suatu amalan pergigian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini, jam 5.55 petang pada 20 Ogos 2021.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 berdepan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 6 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Nozaizeli Abu Samah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Seorang suri rumah, Norazia Abdul Rahman, 41, (Baju hitam) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menjalankan perkhidmatan rawatan venir pergigian (veneer) tanpa lesen. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK
Seorang suri rumah, Norazia Abdul Rahman, 41, (Baju hitam) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menjalankan perkhidmatan rawatan venir pergigian (veneer) tanpa lesen. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 12:59 PM