Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Wanita warga China didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menjalankan operasi klinik pergigian haram, empat tahun lalu.

Hakim Nariman Badruddin memutuskan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah Jiang Jun Yin, 33, selaku orang kena tuduh (OKS) dan mensabitkannya dengan pertuduhan serta menimbangkan rayuan, fakta kes dan hujan pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, OKS didapati menyediakan sebuah klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Taman Laksamana Cheng Ho, dekat sini, ada 6 Disember 2018, jam 3.25 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum mengikut peruntukan Seksyen 5(1)(a) akta sama, sabit kesalahan membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Jabatan Kesihatan Negeri Melaka diketuai Dr Rosnah Atan menjalankan serbuan di premis terbabit kerana disyaki beroperasi sebagai klinik pergigian swasta haram.

Hasil pemeriksaan pasukan serbuan menemui satu bilik dalam premis digunakan untuk rawatan pergigian dan suami OKS yang juga warga tempatan berusia 30 tahun gagal mengemukakan dokumen perakuan pendaftaran klinik.

Siasatan lanjut mendapati pemeriksaan dan rawatan pergigian di premis itu dilakukan oleh OKS secara janji temu, namun dia tidak berdaftar sebagai pengamal pergigian dengan Majlis Pergigian Malaysia serta tidak berkelayakan menjalankan sebarang aktiviti pergigian.

Pasukan serbuan kemudian merampas peralatan dan bahan pergigian serta dokumen berkaitan di premis itu sebelum membuat laporan di Balai Polis Bandar Hilir.

OKS dikatakan sempat menjalankan perniagaan selama dua bulan khusus berkaitan rawatan pemutihan gigi sebelum dikesan pihak berkuasa.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Nozaizeli Abu Samah memohon hukuman setimpal terhadap OKS.

Hujahnya, ini kerana aktiviti pemutihan gigi tanpa seliaan individu berkelayakan, boleh menyebabkan kemudaratan dari segi kawalan jangkitan kuman dan sebagainya.

Nariman kemudian mengenakan hukuman denda RM25,000 atau empat bulan penjara jika OKS gagal melunaskan denda berkenaan.

Peguam Jagdeep Kaur merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya tidak mengetahui perkhidmatan rawatan pemutihan gigi dijalankannya satu kesalahan di negara ini selain tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 6:30 PM
JUN Yin  (kiri, baju-T hitam) didenda RM25,000 kerana menjalankan operasi klinik pergigian tidak berdaftar. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
JUN Yin (kiri, baju-T hitam) didenda RM25,000 kerana menjalankan operasi klinik pergigian tidak berdaftar. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad