M Kumar menyampaikan sijil penghargaan Ketua Polis Johor kepada pegawai dan anggota. FOTO Omar Ahmad
M Kumar menyampaikan sijil penghargaan Ketua Polis Johor kepada pegawai dan anggota. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Johor Bahru: Polis mengesahkan menerima 14 lagi laporan polis berhubung penggunaan kalimah Allah pada stoking yang menimbulkan kemarahan orang Islam.

Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata, sebelum ini 11 laporan polis diterima berkaitan isu sama menjadikan keseluruhan 25 laporan polis diterima di negeri ini.

Menurutnya, satu laporan polis juga diterima dari pihak kilang terbabit berhubung ancaman yang diterima.

"Ketika ini kita dalam proses merakam percakapan saksi yang lain. Laporan polis dari wakil kilang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada kelmarin.

"Wakil kilang memaklumkan kejadian ugutan di hadapan kilang di Taman Perindustrian Sri Gading dibuat secara bersemuka pada 19 Mac lalu.

"Namun, wakil kilang membuat laporan polis selepas video ancaman tular di media sosial. Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 peringkat Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kumar menafikan dakwaan pihaknya lambat membuat serbuan ke atas kilang yang terbabit dalam kontroversi penggunaan kalimah Allah pada stoking.

Menurutnya, pihak polis melakukan tindakan pantas selepas mengenal pasti dan risikan dibuat.

"Tiada elemen lambat (serbuan kilang) di situ. Seramai 40 pegawai dan anggota ditugaskan membuat pemeriksaan di seluruh dan segenap ruang kilang terbabit.

"Tiada ruang (bahagian kilang) yang terlepas dalam pemeriksaan polis," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kumar memaklumkan pihaknya menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung hantaran di media sosial yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

"Kita menunggu laporan SKMM untuk pengesahan pemilik akaun terbabit," katanya.

Tangkap layar hantaran komen berkenaan dipercayai dilakukan seorang pengguna akaun Facebook berasal dari Pontian tular sejak Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 11:44 AM