Tangkap layar video tular dua lelaki bergaduh guna parang dan besi di Kota Belud.
Tangkap layar video tular dua lelaki bergaduh guna parang dan besi di Kota Belud.
Juwan Riduan


Kota Belud: Pergaduhan dua lelaki gempar di media sosial semalam selepas menunjukkan masing-masing 'berperang' menggunakan parang dan besi.

Rakaman dua video mengenai insiden itu dikesan malam tadi, menunjukkan dua lelaki masing-masing menghayun parang dan besi hingga ada yang mengena paha seorang daripada mereka.

Pergaduhan kemudian dilihat berjaya dileraikan orang awam dan mangsa cedera dikatakan dihantar ke Hospital Kota Belud.

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada 11.30 pagi berhampiran sebuah sekolah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain ketika dihubungi memaklumkan menyedari video tular itu dan menyiasatnya.

"Setakat ini belum ada laporan rasmi dibuat mana-mana pihak. Dikatakan kedua-dua pihak sudah berdamai dan pergaduhan ada kaitan kekeluargaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 10:13 AM