GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Subang Jaya: Polis menafikan dakwaan seorang penyampai berita yang menyifatkan tindakan anggota polis sebagai kasar, sombong dan tidak profesional semasa menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dakwaan lelaki berusia 30-an itu diterbitkan dalam sebuah akhbar tempatan, semalam.

"Pengadu iaitu seorang anggota polis berusia 42 tahun menerima pautan laporan berkenaan 12.30 tengah hari, semalam, semasa berada di Pejabat Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

"Pengadu mendapati laporan itu adalah mengenai pemeriksaan dijalankannya terhadap seorang lelaki tempatan, 1.30 pagi di kawasan perumahan USJ 9, di sini, pada 13 Mac lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, selepas membaca laporan itu, pengadu mendapati dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Polis Daerah Subang Jaya.

"Dalam laporan itu menyatakan bahawa lelaki terbabit tidak berpuas hati dengan tindakan polis yang kasar, sombong dan tidak profesional semasa menjalankan tugas.

"Lelaki itu juga mendakwa dia tidak dibenarkan bertanya dan tidak ada permohonan maaf dibuat terhadapnya selepas pemeriksaan dilakukan," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan oleh pengadu terhadap lelaki terbabit adalah mengikut undang-undang dan garis panduan ditetapkan.

"Semakan dilakukan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan laporan polis dibuat selepas pemeriksaan itu.

"Lelaki terbabit akan dipanggil untuk memberi keterangan pada minggu depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 589)," katanya.

Beliau meminta orang ramai supaya lebih prihatin dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dalam usaha mencegah jenayah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah dan salah laku pihak polis boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 3:21 PM