ANTARA leraian tembaga dan rampasan lain susulan penahanan empat lelaki, semalam. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA leraian tembaga dan rampasan lain susulan penahanan empat lelaki, semalam. FOTO Ihsan Polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


Subang Jaya: Empat lelaki termasuk seorang warga India ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Jalan SS15/5G di sini, Khamis lalu.

Tiga lelaki tempatan ditahan di tepi jalan Sungai Kandis, Shah Alam semalam manakala seorang lelaki warga India diberkas di sebuah premis barang lusuh di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada pembantu pegawai teknik TM berusia 52 tahun pada 1.36 petang semalam.

"Pengadu membuat pemeriksaan kabel milik syarikat berkenaan di lokasi itu jam 12.30 tengah hari, Khamis lalu dan mendapati terdapat beberapa jenis kabel milik TM dipotong serta disyaki dicuri.

"Difahamkan kabel berzaiz 0.4 milimeter (mm) dan 0.5 mm dipotong dan anggaran setiap kabel dipotong berukuran kira-kira 250 meter.

"Dalam kejadian itu, TM mengalami kerugian RM15,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, semua suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 35 tahun.

"Kami turut merampas beberapa peralatan digunakan untuk mencuri kabel iaitu dua alat mesin leraian tembaga, peralatan memotong wayar, pembuka 'manhole' dan satu beg guni mengandungi leraian tembaga seberat 350 kilogram.

"Selain itu, dua motosikal yang digunakan oleh suspek dirampas. Dianggarkan nilai tembaga yang dirampas adalah RM11,000," katanya.

Menurutnya, dalam soal siasat, suspek mengaku terbabit dalam kes itu dan beberapa kes curi kabel sekitar daerah ini.

"Dengan tangkapan itu, kami berjaya menyelesaikan sebanyak lapan kes yang menggunakan modus operandi sama.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat dan syarikat telekomunikasi yang terbabit diminta bekerjasama dan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 atau pegawai penyiasat kes, Sarjan Mohd Bukhari Mat Noh di talian 013-4885483," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 6:36 PM