GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis mengesahkan sudah mengambil keterangan daripada penyampai berita yang disiasat berhubung artikel luahan pembaca yang mendakwa anggota polis sebagai kasar, sombong dan tidak profesional ketika menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, keterangan penulis artikel itu diambil malam tadi di Balai Polis Subang Jaya.

"Polis kini masih dalam tindakan merakam percakapan saksi-saksi lain bagi membantu siasatan berhubung kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan siasatan terhadap penyampai berita itu akan dijalankan secara adil.

Menurutnya, pihaknya mengambil pendekatan untuk mendengar keterangan daripada kedua-dua pihak bagi mengetahui situasi sebenar mengenai dakwaan berkenaan.

"Saya punya prinsip mudah iaitu dengar kedua-dua versi supaya kita berlaku adil dan kita dapat dari dua dua versi, ia termasuk versi pengadu dan versi anggota polis yang bertugas barulah kita boleh tahu kedudukan sebenar.

"Oleh kerana hal ini sekarang sedang diuruskan, kita tunggu keputusan, polis tidak selamanya betul dan pengadu juga ada buat silap," katanya.

Sabtu lalu, individu berkenaan menulis surat di kolum luahan pembaca sebelum disiarkan akhbar tempatan.

Individu berkenaan mendakwa kelakuan anggota polis yang dikatakan sombong dan kasar ketika menjalankan tugas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 1:19 PM