GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Enam peniaga bazar Ramadan di kompaun selepas didapati menggajikan pekerja warga asing dalam operasi pemantauan di sekitar ibu negara, di sini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, operasi itu dijalankan di sekitar Jalan Radin, Jalan Desa Jaya dan Jalan Impian Indah, di sekitar Seputeh di sini, semalam.

"DBKL membuat pemeriksaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di tiga bazar Ramadan membabitkan aktiviti penjualan pelbagai jenis makanan dan minuman.

"DBKL membuat tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan enam notis kompaun kepada pemilik lesen kerana melanggar syarat dengan melantik pembantu gerai warga asing," katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

DBKL berkata, tindakan diambil mengikut Undang-undang Kecil (UUK) 14, Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016.

Menurutnya, operasi pemantauan dijalankan bagi meninjau tahap kebersihan, pengendali makanan serta kelancaran aliran trafik di sekitar tapak bazar Ramadan.

Katanya, pemantauan itu dijalankan membabitkan aktiviti penjualan makanan dan minuman pada tahap kebersihan yang optimum.

"DBKL mengingatkan kepada semua pemegang lesen perniagaan mematuhi syarat ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari masa ke semasa di 11 kawasan parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 3:46 PM