Roselan Ab Malek


Maran: Kerajaan Pahang mengisytiharkan 18 kawasan di negeri ini sebagai Skim Tanah Rakyat (STR) untuk generasi baharu Felda.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, 18 kawasan yang diisytiharkan sebagai STR itu membabitkan 10 kawasan di Mempaga serta masing-masing empat kawasan di Jengka dan Kuantan.

Beliau berkata, melalui STR, generasi baharu Felda akan berpeluang untuk membina rumah kediaman mereka di atas tanah yang diberi hak milik.

"Kerajaan Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 20 September lalu bersetuju untuk mengisytiharkan 18 kawasan dalam STR untuk generasi baharu Felda.

"Saya dimaklumkan, Felda melalui kerjasama dengan FIC Supply akan menyediakan reka bentuk rumah untuk dibina dan pembiayaan melalui bank juga akan disediakan," katanya selepas Majlis Pecah Tanah STR Felda di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM200 juta bagi menyiapkan Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai di negeri ini.

"Projek ini kita jenamakan semula sebagai Skim Rumah Pahang (SRP) yang mana pemilihan pembeli berkelayakan diuruskan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang melalui sistem e-Perumahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 4:09 PM