WAN Rosdy menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada pelajar Maran pada  Majlis Pecah Tanah Skim Tanah Rakyat Felda di Felda Jengka 14, di sini hari ini. FOTO Roselan Ab Malek.
WAN Rosdy menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada pelajar Maran pada Majlis Pecah Tanah Skim Tanah Rakyat Felda di Felda Jengka 14, di sini hari ini. FOTO Roselan Ab Malek.
RoselanAb Malek


Maran: Kerajaan Pahang sedia meneliti dan mengkaji untuk meneroka bahan mineral nadir bumi oksida sekali gus membina kilang pemprosesan nadir bumi di negeri ini.

Bagaimanapun, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pada masa sama, kajian menyeluruh perlu dilakukan kerana ia membabitkan kawasan alam sekitar, perhutanan dan sebagainya.

Katanya, Pahang adalah antara 10 negeri yang mempunyai unsur nadir bumi Lempung Jerapan Ion (IOC).

"Kerajaan Pahang amat positif untuk mengusahakan pengeluaran hasil nadi bumi kerana secara langsung menjanjikan pulangan hasil dan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

"Ia juga berpotensi menjadi sumber pendapatan terbaharu di negeri sekali gus memberi manfaat kepada rakyat," katanya kepada media selepas Majlis Pecah Tanah Skim Tanah Rakyat ( STR) Felda Pahang di Felda Jengka 14, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, penubuhan Akademi Mineral Pahang di Lipis tahun ini antara strategi jangka panjang kerajaan negeri melatih generasi muda dalam bidang berkenaan.

"Kampus sementara di Lipis akan melatih pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menjuruskan kepada tenaga meneroka hasil mineral di Pahang," katanya.

Difahamkan Pahang kaya dengan nadir bumi berjumlah 1.2 juta tan yang memberi pulangan pendapatan berbilion ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 4:52 PM