GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Jawatankuasa Induk Menangani Setinggan di Sabah mengenal pasti sebanyak 285 koloni setinggan membabitkan 33,566 rumah dan seramai 130,397 penghuni ada di Sabah ketika ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, yang mempengerusikan jawatankuasa itu berkata, koloni setinggan ada di seluruh negeri kecuali di tiga daerah, iaitu Ranau, Kota Belud dan Tuaran.

Berikutan itu, beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah perlu mewujudkan pelan menangani isu setinggan di kawasan masing-masing bagi mencapai sasaran sifar setinggan.

"Saya ingin melihat lebih banyak daerah merekodkan sifar setinggan. Daerah yang mempunyai banyak koloni setinggan hendaklah mencapai penurunan yang ketara menjelang akhir 2025," katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 dan Majlis Amanat Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah 2024, di sini, malam tadi.

Sejajar dengan situasi itu, Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, berkata pihaknya mengarahkan semua PBT di negeri ini untuk menyediakan kajian keperluan perumahan di daerah masing-masing.

Katanya, semua PBT juga diminta mengenal pasti dan menyenaraikan tanah yang boleh dibangunkan untuk melaksanakan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dalam usaha menyediakan perumahan kepada rakyat di negeri ini.

Sementara itu, beliau semua Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah di Sabah supaya melipatgandakan usaha memperkasa PBT masing-masing dengan menitikberatkan perkhidmatan kepada penduduk.

"Saya sudah memulakan jelajah ke semua PBT di Sabah dengan melawat Majlis Daerah Tenom, Nabawan, Keningau dan Tambunan setakat ini dan saya melihat masalah yang dihadapi PBT lebih kurang sama.

"Antaranya ialah mengenai kekurangan kewangan dan kakitangan, manakala kemudahan asas yang disediakan PBT secara umum sudah usang dan tidak diselenggara dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 11:58 AM