DR Wan Azizah bersama mangsa kebakaran yang menerima surat tawaran rumah transit. FOTO Bernama
DR Wan Azizah bersama mangsa kebakaran yang menerima surat tawaran rumah transit. FOTO Bernama
Mohd Husni Mohd Noor


TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengarahkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) supaya memagar tapak kawasan penempatan setinggan di Pandan Jaya bagi mengelak penempatan baharu dibina.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Serahan Kunci Rumah kepada mangsa kebakaran setinggan di Kawasan Indian Settlement di Pandan Jaya, di sini, semalam.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, tindakan memagar itu penting bagi mengelak masalah kebakaran berulang di kawasan penempatan setinggan terbabit.

“Saya mengarahkan TNB supaya memagar terus kawasan terbabit supaya tidak wujud lagi pembinaan rumah setinggan yang baru kerana membahayakan keselamatan penduduk.

“Insya-Allah TNB akan melakukannya dengan segera sebaik sahaja mangsa kebakaran berpindah ke rumah transit masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Dr Wan Azizah menyampaikan surat tawaran rumah transit Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada 24 mangsa kebakaran di kawasan setinggan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 5:15 AM