FADILLAH meninjau keadaan laluan bertingkat disiapkan tahun lalu.
FADILLAH meninjau keadaan laluan bertingkat disiapkan tahun lalu.
Nik Sukry Ramli dan T N Alagesh

Kuantan: Nikmat pembangunan dan kesejahteraan dikecapi penduduk daerah ini adalah hasil perjuangan UMNO yang terus membela serta mengutamakan kebajikan rakyat, walaupun kerusi Parlimen itu dimenangi pembangkang sejak dua penggal lalu.

Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat berkata, perjuangan parti yang tidak jemu turun padang dan mengemukakan masalah penduduk kepada kerajaan membolehkan Kuantan mengecapi pembangunan.

Katanya, ia termasuk pembinaan jambatan baru, mengatasi masalah setinggan, isu kesesakan lalu lintas dan perumahan mampu milik dapat dilaksanakan.

“Kami (UMNO Bahagian Kuantan) banyak memainkan peranan mengatasi masalah setinggan di Tanjung Lumpur, Tanah Putih, Tanjung Api dan Galing.

“Isu ini dibawa bukan saja untuk perhatian kerajaan negeri, bahkan disuarakan di peringkat Pusat dan hasilnya kini boleh dikatakan seluruh Parlimen ini mencapai setinggan sifar.

“Kami mencadangkan pembinaan laluan bertingkat di Jalan Bukit Ubi menghala Indera Mahkota dan pekan Sungai Lembing yang siap tahun lalu, malah laluan ini banyak memberikan keselesaan kepada 100,000 penduduk Kuantan, sekali gus mengurangkan kesesakan ke pusat bandar terutama pada waktu puncak.

“Begitu juga dengan projek jambatan baru menghubungkan Tanjung Lumpur dan bandar ini yang sedang dalam pembinaan, dijangka memberi impak besar kepada penduduk serta meningkatkan ekonomi dan pembangunan setempat,” katanya.

FADILLAH (depan, dua dari kiri) mendengar  penerangan Pengarah Jabatan Kerja Raya Pahang, Datuk Abdul Jalil Mohamad ketika meninjau projek pembinaan  laluan bertingkat di Jalan Bukit Ubi.
FADILLAH (depan, dua dari kiri) mendengar penerangan Pengarah Jabatan Kerja Raya Pahang, Datuk Abdul Jalil Mohamad ketika meninjau projek pembinaan laluan bertingkat di Jalan Bukit Ubi.

Wan Adnan berkata, kerajaan meluluskan pembinaan sejumlah 2,426 unit rumah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di atas tanah berkeluasan 82 hektar di Tanjung Lumpur, sebagai tawaran rumah mampu milik kepada golongan muda.

Pihaknya turut memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi ruang dan peluang perniagaan kepada golongan muda tanpa mengira kaum, selaras konsep diamalkan Barisan Nasional (BN) untuk membawa kesejahteraan kepada semua lapisan masyarakat.

“Kami mempunyai hubungan baik dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), dan ini penting untuk memastikan semua aduan sampai ke pihak berkenaan untuk diselesaikan segera.

“Selain itu, UMNO Bahagian membangunkan pangkalan data lengkap penduduk miskin yang memerlukan bantuan, dan apa saja berkaitan kebajikan untuk tindakan susulan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 10:41 AM