DUA maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kampung Salong-Chini, Pekan. FOTO ihsan PDRM
DUA maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kampung Salong-Chini, Pekan. FOTO ihsan PDRM
Asrol Awang


Kuantan: Dua individu, termasuk seorang jururawat maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kampung Salong-Chini, Pekan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa yang maut ialah jururawat, Noridah Abd Jalal, 49, dan Azmi Nujain, 42.

Katanya, berdasarkan laporan, kemalangan kira-kira 8.30 pagi itu membabitkan Perodua Axia dan Proton Saga.

"Siasatan awal mendapati Perodua Axia yang dipandu Azmi dari arah Salong menghala ke Chini, manakala Proton Saga dipandu Noridah dari arah Chini menghala ke Salong.

"Apabila tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu Azmi dipercayai hilang kawalan lalu merempuh kereta dipandu Noridah di laluan bertentangan.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 7:13 PM