KERJA disinfeksi di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Chini Timur Satu giat dijalankan menjelang PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, esok.  FOTO Bernama.
KERJA disinfeksi di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Chini Timur Satu giat dijalankan menjelang PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, esok. FOTO Bernama.
BERNAMA

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan memantau rapi pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang menunjukkan gejala berkaitan Covid-19 pada hari pengundian esok.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, mereka akan diasingkan ke khemah khas sebaik sahaja saringan suhu menunjukkan suhu mereka melebihi 37.5 darjah Celcius atau mereka menunjukkan gejala lain.

"Pengundi bergejala kemudian akan diberikan sarung tangan getah untuk dipakai sepanjang proses pengundian. Selepas selesai mengundi, sarung tangan getah berkenaan perlu dibuang dan mereka kemudian akan diminta menjalani pemeriksaan rapi oleh petugas kesihatan.

"Pemeriksaan berkenaanlah yang akan menentukan sama ada mereka ini perlu dirujuk ke hospital terutama bagi saringan Covid-19," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat mengundi di Dewan Mempelas Kampung Baru PPSK Salong di Pekan, hari ini.

Beliau turut berharap pengundi yang akan menjalankan tanggungjawab esok supaya memberi kerjasama dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk mereka bagi memastikan kelancaran proses berkenaan.

"Covid-19 masih tiada ubat khusus mahupun, vaksin dan kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermakna kita semua perlu menjaga penjarakan sosial. Ini ialah tanggungjawab bersama yang boleh kita lakukan bagi menunjukkan kita ialah pengundi yang bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata, kementeriannya sedang mempertimbangkan untuk menggantikan bangunan usang Klinik Desa Salong, bagi keselesaan petugas dan pesakit di situ, yang akan membabitkan kos RM350,000.

Beliau terdahulu melawat Klinik Kesihatan Chini dan Klinik Desa Salong, dalam rangka lawatannya ke Pahang dengan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengarah Kesihatan Negeri Pahang Datuk Dr Bahari Awang Ngah.

  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 6:09 PM