GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan sepasang suami isteri yang juga selebriti dikatakan merentas negeri untuk berbulan madu di Sabah, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima permohonan rentas negeri ke Sabah atas urusan perniagaan daripada seorang lelaki berusia 27 tahun di Balai Polis Setapak jam 5 petang pada 20 Mac lalu.

"Pemohon ada mengemukakan surat arahan menjalankan tugas oleh syarikat. Berdasarkan dokumen itu, polis meluluskan permohonan rentas negeri yang bermula pada 21 hingga 25 Mac ini.

"Bagaimanapun, gambar lelaki berkenaan bersama isterinya berusia 31 tahun kemudian tular di media sosial, semalam.

"Pasangan itu dikatakan pergi berbulan madu di kawasan peranginan dan mengakibatkan orang ramai mempertikaikan bagaimana mereka mendapat kebenaran rentas negeri ke Sabah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ashari berkata, setakat ini, pasangan terbabit masih berada di Sabah dan akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada sebaik mereka kembali ke Semenanjung.

"Kami akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan itu dan jika pasangan ini didapati memberikan keterangan palsu untuk merentas negeri, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil kesempatan di atas budi bicara polis dalam memberikan kebenaran rentas negeri bagi urusan perniagaan, kerja atau pun kecemasan.

"Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau maklumat, orang ramai diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Terdahulu, gambar seorang pelakon wanita bersama suaminya di Sabah yang dimuat naik di media sosial mengundang kecaman apabila mereka didakwa merentas negeri ke Sabah untuk berbulan madu, baru-baru ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 10:36 PM