RAKAMAN yang tular. FOTO tular
RAKAMAN yang tular. FOTO tular
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki yang meragut telefon bimbit penumpang kenderaan yang berhenti di lampu isyarat di Jalan Genting Klang, Setapak, di sini, pada 5 November lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya mengesan satu video menunjukkan kejadian ragut berdurasi tujuh saat dimuat naik di TikTok kira-kira jam 10 pagi tadi.

"Semakan dilakukan mendapati kejadian itu berlaku di Jalan Genting Klang, Setapak dan kami menerima satu laporan daripada mangsa pada 5 November lalu.

"Menurut mangsa, cermin tingkap terbuka semasa dia berada di tempat duduk penumpang hadapan ketika kenderaan itu berhenti di lampu isyarat.

"Suspek dari arah belakang dengan menaiki sebuah motosikal meragut telefon bimbit mangsa lalu melarikan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ashari berkata, bertindak atas maklumat risikan, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 32 tahun dalam kes berkenaan jam 11.30 malam tadi.

"Kami juga berjaya merampas barang kes iaitu sebuah telefon bimbit. Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 14 November nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan sentiasa berwaspada bagi mengelak menjadi mangsa penjenayah.

"Kami memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 5:15 PM