Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang membacakan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di  Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang membacakan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim

[email protected].m

Kota Bharu: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berharap Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dapat disambung sehingga ke Rantau Panjang.

Baginda bertitah, ia bertujuan bagi memacu pertumbuhan ekonomi antara sempadan.

"Selain itu, ia mampu mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini yang dibacakan oleh Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Pada masa sama, baginda turut bersimpati dengan rakyat Kelantan yang dilanda bencana banjir baru-baru ini dan suatu penyelesaian yang komprehensif hendaklah dibuat dengan kadar segera.

"Beta dimaklumkan kemajuan pelaksanaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan dan Sungai Golok fasa 1 berada pada tahap 92 peratus.

"Beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan diatas kelulusan peruntukan bagi meneruskan pelaksanaan PLSB Sungai Kelantan fasa 2 dan PLSB Sungai Golok fasa 3.

"Beta juga berharap supaya kelangsungan projek ini dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang ditetapkan," titah baginda.

Sultan Muhammad V turut menyeru Kerajaan Pusat dapat memberi perhatian terhadap pelaksanaan projek jaringan jalan raya utama di Kelantan seperti Lingkaran Tengah Utama Expressway (Central Spine Road) dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yang perlu disiapkan dalam tempoh masa ditetapkan.

"Beta berharap pelaksanaan projek tertangguh yang lain seperti Jambatan Pengkalan Kubor-Takbai, Jambatan Palekbang-Kota Bharu dan Lebuh Raya Pantai Timur fasa 3 (LPT3) dapat disegerakan bagi memastikan rakyat beroleh manfaat," titah baginda.

Selain itu, baginda turut bertitah supaya kerajaan negeri mengambil peluang menjadi antara pemain utama dalam industri halal di negara ini.

"Beta dimaklumkan pelbagai usaha sudah dilaksanakan oleh kerajaan negeri antaranya menggalakkan usahawan mendapatkan sijil pengesahan halal.

"Selain itu, beta turut dimaklumkan bahawa kerajaan negeri ada menyediakan skim mikro kredit sebagai bantuan pembiayaan tanpa faedah kepada usahawan mikro di negeri ini," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 12:10 PM