TUNKU Syed Sirajuddin menyampaikan titah sempena perasmian Penggal Persidangan Keempat DUN Perlis ke-14. FOTO Aizat Sharif.
TUNKU Syed Sirajuddin menyampaikan titah sempena perasmian Penggal Persidangan Keempat DUN Perlis ke-14. FOTO Aizat Sharif.
Aizat Sharif


Kangar: Penyesuaian sewajarnya perlu dibuat terhadap Bajet Negeri Perlis Tahun 2022 dalam mendepani cabaran dan kesan wabak Covid-19 yang sedang melanda.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam titahnya menyarankan tumpuan diberikan kepada langkah pemulihan ekonomi yang boleh melonjakkan lagi tahap pembangunan negeri itu.

"Program kebajikan rakyat juga perlu diberikan perhatian serius dan dalam hubungan ini, fokus dan keutamaan perlu diberikan kepada program dan projek yang berimpak tinggi dengan kesan limpahan ekonomi yang tinggi.

"Sejak Malaysia dilanda wabak Covid-19 ini, kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk menanganinya dan pada masa sama banyak sektor terjejas serta terpaksa ditutup dalam tempoh yang panjang menyebabkan rakyat hilang kerja dan pendapatan.

"Beta sedar kerajaan turut kehilangan sebahagian daripada hasil kerana pengecualian cukai dan caj perkhidmatan kepada rakyat menyebabkan kekangan serius ke atas keupayaan kerajaan untuk berbelanja," titah baginda.

Baginda bertitah dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-14 di Kompleks DUN, di sini hari ini.

Baginda turut ditemani anakanda Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang bersama mencemar duli hadir dalam majlis berkenaan.

Titah baginda, disebabkan itu juga kerajaan negeri perlu lebih cermat, berhati-hati dan berhemah dalam berbelanja.

"Dalam situasi yang sukar ini, Beta ingin menyarankan agar penekanan diberikan kepada kecekapan dan keberkesanan pengurusan kewangan negeri.

"Keutamaan perbelanjaan kerajaan negeri wajar berfokus kepada inisiatif pembangunan yang berorientasikan rakyat dan boleh memberikan manfaat terus kepada rakyat.

"Perbelanjaan yang tidak berpaksikan rakyat dan pembaziran harus dielakkan sama sekali," titah baginda.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap kekeliruan dan ketidaktentuan politik semasa negara yang dilihat tidak sihat kepada iklim pelaburan negara.

"Pelabur tidak akan tertarik untuk melabur dalam situasi begini. Malah pelabur sedia ada mungkin akan menarik pelaburan mereka dan berhijrah ke negara lain yang dilihat lebih menarik.

"Jika situasi begini berterusan, ia bakal merencatkan agenda pembangunan negara. Malah tidak mustahil, ia boleh menarik pembangunan negara berundur ke belakang," titah baginda.

Baginda bagaimanapun melihat iklim politik di Perlis tenang dan stabil serta menyeru supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sentiasa berfikiran rasional dan saling bekerjasama dalam mengekalkan kestabilan ini.

"Letakkan kepentingan rakyat di hadapan mengatasi kepentingan politik peribadi.

"Beta yakin dengan perancangan teliti kerajaan negeri, didorong pula oleh suasana politik yang stabil, Perlis akan menjadi destinasi menarik kepada pelabur dan akan terus bergerak maju," titah baginda

Dalam majlis itu juga, baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap perlantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri negara yang baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 2:51 PM