Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-81 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-81 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Alor Setar: Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah terdapat keperluan mendesak untuk memperkasakan jaringan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan di negeri berkenaan.

Baginda bertitah adalah amat mustahak bagi Kedah untuk memiliki sebuah lagi lapangan terbang antarabangsa berasaskan kargo bagi memudahkan pergerakan keluar masuk barangan dan ekport ke luar negeri.

Titah baginda, perancangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di dalam kerangka pembangunan Kedah Aerotropolis akan memenuhi kehendak itu dan bertindak sebagai 'game changer' yang akan mengubah landskap ekonomi ke tahap yang lebih ampuh.

"Beta berpendapat hasrat ini akan dapat disegerakan sekiranya kerajaan Beta dan Kerajaan Persekutuan dapat bekerjasama, dan pucuk pimpinan mampu mengenepikan perasaan peribadi dalam mentadbir hal ehwal berkaitan pembangunan.

"Amatlah rugi sekiranya projek pembangunan ini tidak dilaksanakan hanya disebabkan oleh perbezaan pandangan dan pemahaman politik antara pemimpin-pemimpin di peringkat negeri dan persekutuan sehingga membelakangkan keperluan negeri dan negara yang jauh lebih mustahak," titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian dalam ucapan sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-81 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Sementara itu, baginda turut berkenan mewujudkan Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) yang bertujuan membantu meringankan beban rakyat golongan miskin dan mengimbangi pengagihan ekonomi supaya ia lebih adil dan saksama.

"Beta bercita-cita menjadikan TASK sebagai sebuah wadah untuk semua pihak bersama-sama berganding bahu, berbakti dan berbudi kepada golongan yang memerlukan.

"Sesungguhnya sedekah ini bukan sekadar membantu keluarga dengan memberi pakaian, makanan dan minuman, malah diharapkan dapat memberi peluang yang lebih cerah kepada anak-anak keluarga tersebut untuk maju dalam pendidikan," titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah, perbincangan mengenai sejarah Negeri Kedah khususnya berhubung kedudukan Negeri Kedah dan Pulau Pinang haruslah disulami dengan fakta yang berasas dan tepat.

Baginda bertitah adalah lebih baik sekiranya fakta-fakta ini dikaji secara ilmiah dan lebih tersusun agar dapat dijadikan rujukan serta membawa kebaikan kepada generasi akan datang kerana sejarah adalah sumber kebijaksanaan terpenting dalam mengajar seni bernegara.

Titah baginda lagi, peristiwa lampau yang telah meletakkan negeri ini dalam keadaan yang sukar dan terpaksa bersetuju dengan perjanjian-perjanjian berat sebelah harus dijadikan pedoman serta peringatan agar lebih berhati-hati dalam bertindak dan berurusan.

"Perjuangan menjaga hak dan kedaulatan negeri kini bukan lagi di medan perang sebagaimana yang dilakukan oleh pahlawan negeri terdahulu. Medan perjuangan kini adalah di meja-meja rundingan dan melalui tinta-tinta tulisan," titah baginda.

Berangkat sama ke istiadat itu Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan isteri Tok Puan Jusmalailani Jusoh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 4:39 PM