RAMLI (dua,kiri) bergambar pada Majlis Pelancaran Portal Semakmule 2.0. FOTO BERNAMA
RAMLI (dua,kiri) bergambar pada Majlis Pelancaran Portal Semakmule 2.0. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) merekodkan lebih 1.9 juta pencarian ke atas akaun bank dan nombor telefon digunakan sindiket penipuan menerusi portal Semakmule sejak 2018 lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, portal berkenaan menyediakan kemudahan kepada orang ramai bagi mendapatkan pengesahan status akaun bank dan nombor telefon yang mungkin terbabit dalam kegiatan penipuan.

Menurutnya, pengesahan itu dapat digunakan untuk mempertimbangkan tahap keselamatan urusan pindahan atau bayaran wang yang ingin dilakukan.

"Sejak 2023 sehingga kini, sejumlah 193,000 akaun bank dan 164,000 nombor telefon 'scammer' disenaraikan dalam portal berkenaan. Ini bermakna lebih 190,000 akaun bank disalahgunakan sebagai keldai akaun.

"Sejak dilancarkan juga, sejumlah 24,962,197 pelawat melayari portal itu dan 20,469,861 carian dibuat. Daripada jumlah itu, 1,912,120 carian adalah positif," katanya ketika berucap melancarkan portal Semakmule 2.0 di pusat beli-belah Midvalley, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa.

Ramli berkata, kemudahan portal Semakmule turut dimanfaatkan oleh institusi kewangan dan pihak berkuasa negara jiran bagi membantu siasatan yang dilaksanakan mereka.

Malah, katanya keberkesanan Semakmule mendapat pengiktirafan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) melalui Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam 2023.

Bagaimanapun, modus operandi sindiket penipuan yang sentiasa berubah dan perkembangan teknologi membuatkan JSJK melihat kepada keperluan supaya fungsi portal itu diperkasa dengan menambah satu lagi modul yang menyenaraikan syarikat disyaki terbabit dengan kegiatan jenayah komersial melalui Semakmule 2.0.

"Pengguna akan diberikan akses untuk membuat carian terhadap syarikat yang mungkin terbabit aktiviti jenayah komersial. Kemudahan ini bakal membantu pengguna dalam membuat pertimbangan sama ada untuk meneruskan urus niaga atau urusan dengan syarikat yang berkaitan.

"Setakat ini, 107 syarikat yang disyaki terbabit dengan kegiatan penipuan disenaraikan di dalam pangkalan data portal ini," katanya.

Beliau berharap portal itu bakal menjadi satu mekanisme sentral dalam usaha pencegahan jenayah lebih efektif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 4:23 PM