RAMLI (tengah) pada sidang media di Menara KPJ, Jalan Tun Razak. FOTO Aswadi Alias
RAMLI (tengah) pada sidang media di Menara KPJ, Jalan Tun Razak. FOTO Aswadi Alias
Muhaamad Hafis Nawawi dan Suhanna Iskandar


Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menggodam dan menjual data milik agensi kerajaan di laman sesawang dark web pada 25 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di ibu negara.

Menurutnya, hasil siasatan, mendapati lelaki terbabit disyaki menjual data di laman sesawang itu dengan harga AS$200 (RM927) untuk setiap set data dan pembayaran dalam bentuk mata wang kripto.

"Pengesanan terhadap lelaki itu berjaya dilakukan hasil kecekapan Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency, JSJK.

"Lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis pada 29 Disember (Jumaat) lalu sementara siasatan dilengkapkan," katanya dalam pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

Dalam perkembangan berasingan, Ramli berkata, laman sesawang SemakMULE JSJK dibangunkan pada 2018 memenangi tempat kedua dalam Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AlPSA) 2023 anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia

(MAMPU).

"Kejayaan ini adalah satu pengiktirafan kepada PDRM khususnya dari aspek penyampaian perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau berkata, portal terbabit dibangunkan dengan matlamat untuk memberikan akses secara langsung kepada masyarakat dalam menyemak akaun bank serta nombor telefon yang mungkin digunakan oleh scammer.

"Setakat ini, sejumlah 160,095 akaun bank serta nombor telefon disenaraikan di dalam portal ini.

"Sejak mula dibuka sehingga sekarang, portal SemakMULE sudah dilawati sebanyak 24,257,824 kali dan jumlah carian yang dibuat mencecah 21,215,287 carian," katanya.

Menurutnya, daripada jumlah carian itu, sejumlah 1,575,219 percaya, carian memberikan jawapan positif.

"Kita percaya, maklum balas terbabit membantu pengguna dan menyelamatkan wang mereka dari dipindahkan ke akaun scammer.

"Masyarakat dinasihatkan terus menggunakan kemudahan ini untuk mengelakkan kerugian akibat terpedaya dengan scammer," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 5:12 PM