Gambar hiasan
Gambar hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pihak bank diminta mengambil langkah segera mempertingkatkan sistem keselamatan perbankan secara dalam talian bagi mengelakkan ia digodam penjenayah siber.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihak bank hendaklah menyemak semula dengan pemilik akaun individu atau syarikat untuk pengesahan, sekiranya terdapat permohonan penukaran ID pengguna melalui emel atau perubahan lain dalam urusan perbankan Internet yang mencurigakan.

"Pihak bank juga perlu mewujudkan satu sistem semak dan imbang yang lebih ketat bagi semua urusan perbankan Internet secara online atau e-banking bagi mengelak akaun keldai digunakan secara berleluasa oleh penjenayah untuk memindahkan wang hasil perbuatan jenayah.

"Langkah itu perlu diambil memandangkan terdapat kes yang mana mangsa dan syarikat mengalami kerugian ratusan hingga jutaan ribu ringgit akibat ditipu 'scammer' secara dalam talian, apabila emel atau butiran perbankan Internet dalam talian mereka digodam penjenayah siber," katanya alam kenyataan di sini, semalam.

Sebagai contoh, Arjunaidi berkata, pada 22 Februari lalu seorang pegawai akaun sebuah syarikat tempatan membuat laporan polis memaklumkan majikannya kerugian sebanyak RM 2.9 juta apabila emel syarikat bagi urusan perbankan Internet digodam.

"Penggodam kemudian menghantar emel kepada pihak bank dan mengarahkannya membuat penukaran ID perbankan syarikat majikan pengadu.

"Emel itu disertakan dengan borang yang mana tandatangan majikan pengadu dipalsukan. Pihak bank meluluskan penukaran ID tanpa membuat pengesahan dengan syarikat menyebabkan RM 2.9 juta wang dikeluarkan dari akaun bank syarikat majikan pengadu melalui 59 transaksi ke dalam 18 akaun berbeza disyaki akaun keldai (mule account)," katanya.

Beliau berkata, satu lagi kes membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun dipercayai diperdaya penjenayah siber berkenaan penipuan wasiat harta pusaka tidak wujud dari 5 Disember 2021 hingga 24 Januari lalu.

"Mangsa yang terperdaya memindahkan wangnya ke dua akaun bank berbeza atas nama syarikat tempatan, melalui 50 transaksi berjumlah RM6.3 juta ke akaun yang disyaki akaun keldai menggunakan nama syarikat," katanya.

Mengulas lanjut Arjunaidi berkata, selain tahap kesedaran dan sikap mangsa sendiri, peningkatan kes juga disebabkan 'scammer' boleh membuka akaun individu untuk dijadikan keldai akaun dengan mudah.

"Mereka mudah mendaftarkan nama individu yang menjadi keldai di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kemudian membuka akaun bank atas nama syarikat / perniagaan keldai itu.

"Selain itu, terdapat penjenayah siber yang berjaya menggodam emel dan sistem perbankan Internet mangsa sehingga pengeluaran wang dari akaun mangsa dibuat tanpa pengetahuan mangsa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 549 kertas siasatan jenayah komersial dibuka dalam tempoh Januari hingga Februari tahun ini, dengan 73.8 peratus daripadanya membabitkan jenayah penipuan dalam talian (online scam) dan jenayah siber.

Katanya, dari jumlah itu, 405 kertas siasatan membabitkan kes jenayah penipuan dalam talian dan jenayah siber, manakala 144 kes lagi jenayah bukan dalam talian.

"Polis Selangor mendapati kes jenayah penipuan dalam talian dan jenayah siber menunjukkan peningkatan dari segi jumlah kes dan jumlah kerugian.

"Kes penipuan dalam talian dan jenayah siber menyumbang 73.8 peratus dari jumlah keseluruhan kertas siasatan jenayah komersil yang dibuka.

"Ia membabitkan kerugian sebanyak RM33.7 juta bagi tempoh dua bulan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dan tidak terperdaya sehingga menjadi mangsa jenayah penipuan dalam talian ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 6:30 PM