GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Terpedaya kononnya dirinya memiliki rekod saman trafik menyebabkan seorang wanita kerugian RM31,638.85 akibat ditipu sindiket penipuan dalam talian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis menerima laporan daripada mangsa berusia 37 tahun baru-baru ini berkaitan kes penipuan secara dalam talian dengan menggunakan emel palsu dalam urusan pembayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, dalam kes ini, wanita terbabit menerima satu emel dari [email protected] yang menyatakan dia mempunyai satu saman trafik PDRM.

"Emel terbabit menyertakan portal rasmi MyBayar PDRM di pautan htps://mybayar. rmp.gov.my untuk mangsa membuat semakan.

"Mangsa membuat semakan melalui portal rasmi PDRM terbabit dan mendapati terdapat satu saman PDRM atas kenderaan mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata, emel palsu terbabit kemudian memberi amaran kepada mangsa untuk segera membuat bayaran saman itu jika tidak tindakan lanjut akan diambil.

"Ia turut menyertakan satu laman My Bayar PDRM [email protected] untuk mangsa membuat bayaran secara dalam talian.

"Mangsa kemudian menekan pautan 'go to page payment' dan dibawa masuk ke laman MyBayar PDRM iaitu My Bayar PDRM yang sebenarnya adalah palsu untuk membuat bayaran saman RM50 di mana mangsa mengisi butir-butir perbankan iaitu kata nama, kata kunci dan nombor

"OTP ke dalam borang yang disediakan dalam pautan itu.

"Setelah butiran perbankan dimasukkan transaksi bayaran terbabit gagal dengan skrin laman sesawang palsu itu menyatakan nombor kod SMS yang diterima tidak sah," katanya,

Beliau berkata, mangsa tidak menyedari sebenarnya scammer memperoleh butir rahsia perbankan mangsa melalui pautan palsu itu membolehkan pihak scammer memindahkan wang mangsa secara dalam talian ke dalam akaun bank lain.

"Mangsa kemudian menerima panggilan daripada pihak bank menyatakan wang dari akaun mangsa dipindahkan sebanyak tiga kali dalam masa singkat ke dalam akaun bank lain berjumlah RM31, 638.85.

"Mangsa baru menyedari ditipu dalam urusan bayaran saman PDRM terbabit," katanya.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan sebarang emel yang dikatakan dari PDRM untuk membayar saman.

Ini kerana, menurutnya, PDRM tidak menggunakan emel untuk berhubung dengan orang ramai dalam urusan membayar saman PDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 9:23 PM