Alias Abd Rani


Muar: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol, meliwat dan mencabul anak tirinya, tahun lalu.

Tertuduh berusia 59 tahun yang berhadapan tiga pertuduhan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang bekerja sendiri didakwa merogol anak tirinya berusia 15 tahun di rumah nenek mangsa di Bukit Kepong, dekat sini pada jam 4.30 pagi, 15 November tahun lalu.

Bagi kesalahan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut akta sama dengan hukumannya adalah dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan juga tidak kurang 10 kali sebatan.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 377C kanun sama kerana meliwat anak tirinya dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Manakala pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama.

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen atas kesalahan merogol, meliwat dan mencabul anak tirinya, tahun lalu. FOTO  Alias Abd Rani
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen atas kesalahan merogol, meliwat dan mencabul anak tirinya, tahun lalu. FOTO Alias Abd Rani

Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebatan manakala Seksyen 16, penjara tidak melebihi tujuh tahun dan sebatan tidak kurang dua kali dengan ketiga-tiga kejadian dan masa berlaku di tempat sama.

Berdasarkan laporan polis, tertuduh didakwa menghilangkan diri empat bulan selepas melakukan perbuatan terkutuk terhadap anak tirinya.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan, tertuduh gagal dikesan sebelum polis berjaya menahannya di rumah saudaranya di Kesang, Tangkak, pada jam 11 malam Rabu lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Nur Sulehan memberitahu mahkamah pihaknya tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana enggan bekerja sama sepanjang siasatan dijalankan.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan sebelum tertuduh dihantar ke Pusat Koreksional Muar sementara menunggu sebutan semula kes pada 27 Mac ini serta serahan dokumen dan juga lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 2:56 PM