MOHAMAD Nurhadi dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 35 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas kesalahan merogol, melakukan seks luar tabii dan merompak seorang pembantu kedai pakaian dalam kejadian 1 Ogos lalu. FOTO Ghazali Kori.
MOHAMAD Nurhadi dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 35 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas kesalahan merogol, melakukan seks luar tabii dan merompak seorang pembantu kedai pakaian dalam kejadian 1 Ogos lalu. FOTO Ghazali Kori.
Fitri Nizam


PERLAKUAN tidak berperikemanusiaan seorang penganggur akhirnya terbalas apabila Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun dan 35 sebatan atas perbuatannya merogol, meliwat, mencabul dan menyamun pekerja kedai pakaian.

Tertuduh, Mohamad Nurhadi Othman, 25, dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku salah terhadap enam pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Mustapha dan Rofiah Mohamad.

Terdahulu, tertuduh yang berasal dari Jalan Hiliran Parit Gali, Kuala Terengganu, dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun dan enam sebatan bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh merompak sebuah kedai pakaian dan seorang pekerjanya di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu antara 9.56 hingga 11.10 malam pada 1 Ogos lalu, sambil bersenjatakan pisau sebelum melarikan wang tunai bernilai RM2,600 milik premis itu dan dua utas rantai tangan dan cincin milik mangsa.

Bagaimanapun, Rofiah memerintahkan hukuman penjara berjalan secara serentak bagi kedua-dua pertuduhan.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, tertuduh berhadapan dengan empat pertuduhan iaitu mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan luar tabii.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan di mahkamah sama kerana merogol pekerja kedai pakaian terbabit.

Berdasarkan pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap pekerja wanita berusia 23 tahun berkenaan antara 10.10 hingga 10.55 malam di lokasi dan tarikh sama.

Bagi kesalahan merogol, Azman menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun dan lapan sebatan manakala bagi kesalahan mengikut Seksyen 377A KK pula, tertuduh dijatuhi hukuman 15 tahun penjara dan lima sebatan bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Azman memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak iaitu penjara 20 tahun dengan 23 sebatan bagi keempat-empat pertuduhan yang dibacakan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi dan Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu, Syazwani dalam hujahnya memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana tindakannya bukan hanya merosakkan masa depan mangsa, malah turut menyebabkan wanita itu mengalami trauma teruk.

Katanya, hukuman keras perlu diberikan bukan saja bagi membela nasib mangsa, malah sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya kejadian sama tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 6:56 PM