ZULKIPLI bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu hari ini mengenai kes wanita ditemukan cedera berlumuran darah di hadapan sebuah kedai di Sibu Jaya pada Jumaat petang. FOTO Bernama
ZULKIPLI bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu hari ini mengenai kes wanita ditemukan cedera berlumuran darah di hadapan sebuah kedai di Sibu Jaya pada Jumaat petang. FOTO Bernama
BERNAMA

Sibu: Polis menahan dua lelaki berhubung kes bunuh seorang wanita yang juga pembantu kedai berusia 24 tahun di Sibu Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, tangkapan pertama pada 9.30 malam tadi membabitkan bekas suami mangsa berumur 27 tahun di sebuah rumah panjang tidak jauh dari bandar Sibu.

Beliau berkata, suspek kedua iaitu seorang penjual burger berumur 28 tahun yang mengenali mangsa ditahan jam 9.30 pagi di sebuah lokasi di Sibu Jaya, hari ini.

Menurut Zulkipli, bekas suami wanita itu yang tidak memiliki rekod jenayah direman selama tujuh hari mulai hari ini, manakala permohonan reman terhadap suspek kedua akan dibuat esok bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, suspek kedua itu mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan didapati positif saringan air kencing dadah jenis methamphetamine.

"Hasil siasatan awal polis, motif kejadian ialah suspek kedua ingin meminjam duit daripada mangsa tetapi tidak diberi menyebabkan suspek bertindak agresif … jumlah wang yang ingin dipinjam masih dalam siasatan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, polis menerima maklumat awam jam 3.10 petang semalam berhubung seorang wanita ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah kedai di Sibu Jaya.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan, namun dilaporkan meninggal dunia pada 11.34 malam tadi.

Zulkipli berkata, hasil siasatan dilakukan terhadap mangsa mendapati terdapat enam kesan kecederaan akibat tikaman dan polis telah merampas sebilah pisau serta pakaian yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

Beliau berkata, polis menjalankan siasatan kes itu secara profesional untuk memastikan pihak yang terbabit dihadapkan ke muka pengadilan dan pada masa sama, meminta masyarakat supaya tidak menyebarkan berita tidak benar mengenai kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 6:42 PM