GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norsyazwani Nasri

Sibu: Dua suri rumah masing-masing rugi RM20,600 selepas menjadi mangsa 'phone scam' dalam kes berasingan di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menerima laporan polis daripada dua wanita berusia 43 tahun dan 51 tahun berhubung kes itu pada Rabu lalu.

"Kedua-dua mereka mengalami kerugian sebanyak RM20,600 selepas menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali.

"Kedua-dua mangsa mendakwa menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan eritahu mereka terbabit dengan kes pengubahan wang haram serta dadah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek kemudiannya meminta mangsa membuat transaksi bayaran ke dalam bank akaun perbankan yang diberi bagi menyelesaikan kes terbabit.

"Akibat bimbang dan takut, mangsa menurut semua arahan yang diberikan suspek.

"Pada hari Selasa dan Rabu, kedua-dua mangsa kemudiannya membuat pembayaran sebanyak tiga transaksi secara keseluruhan yang membabitkan kerugian RM20,600," katanya.

Beliau berkata, selepas membuat pembayaran itu barulah mangsa menyedari dirinya diperdaya dan hadir ke balai berdekatan untuk membuat laporan polis.

"Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan tidak mudah panik atau merasa cemas apabila menerima panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali mendakwa diri mereka dari mana-mana jabatan kerajaan atau institusi kewangan.

"Dua kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sudah dibuka berhubung kes ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 4:45 PM