GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Guna aplikasi video pergerakan mulut untuk perdaya mangsa. Itu modus operandi terbaru yang dipercayai digunakan sindiket penipuan macau scam untuk memperdaya mangsa melalui panggilan video palsu menggunakan gambar pegawai polis.

Taktik berkenaan bagaimanapun berjaya dibongkar polis susulan laporan yang dibuat seorang wanita berusia 40 tahun di daerah Sentul, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suri rumah terbabit mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu memperkenalkan diri sebagai pegawai insurans sebelum panggilan disambungkan kepada seorang pegawai polis.

"Melalui semakan maklumat peribadi pengadu dimaklumkan terbabit kes penggubahan wang haram dan rasuah.

"Pegawai polis itu kemudian membuat panggilan video dengan berpakaian seragam menggunakan aplikasi yang menampakkan pergerakan mulut seolah-olah orang sebenar dan mengelirukan pengadu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan itu, Beh berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati sindiket mengelirukan orang ramai dengan membuat panggilan video menggunakan aplikasi menampakkan kesahihan pemanggil sedangkan sudah diubahsuai pergerakan mulut dan gambar wajah yang disunting.

"Kaedah itu boleh memperdayakan orang ramai sehingga mengakibatkan kerugian," katanya.

Katanya, polis memandang serius kes membabitkan panggilan palsu menggunakan gambar profil pegawai polis dan pihak penguat kuasa lain bagi mengaburi mata orang ramai.

Beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan panggilan diterima dan membuat penilaian serta semakan terlebih dahulu di laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat atau aktiviti mencurigakan membabitkan sindiket sedemikian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 8:49 PM