GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Star: Pendapatan pesawah di Kedah dijangka akan terus berada di takuk lama apabila kerajaan tidak membuat sebarang keputusan untuk menaikkan harga beras putih tempatan.

Sebaliknya keputusan untuk meningkatkan penguatkuasaan industri padi dengan mengkaji semula harga beras putih import untuk dijual pada harga lebih murah, tidak akan menyelesaikan isu berkenaan.

Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Che Ani Mat Zain berkata pihaknya memahami keputusan kerajaan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) semalam untuk menjaga kepentingan 32 juta rakyat Malaysia.

Bagaimanapun katanya, kepentingan lebih 240,000 pesawah juga tidak boleh diabaikan demi keterjaminan keselamatan makanan negara.

"Kenaikan harga beras putih keluaran tempatan tidak disebut dalam mesyuarat itu, sekarang yang saya lihat di pasar raya kebanyakan beras putih tempatan dijual paling murah pun RM38 bagi 10 kilogram (kg). Hanya ada satu atau dua kedai ada beras dijual dengan harga RM37 bagi setiap 10 kg.

"Tetapi jika harga beras putih tempatan kekal pada RM2.60 sekilogram, saya percaya kekurangan beras tempatan dengan harga RM2.60 sekilogram akan berterusan seperti berlaku sekarang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

EXCO Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob, berkata perlu ada usaha untuk mendidik orang ramai tentang kepentingan menaikkan harga beras putih keluaran tempatan.

"Orang ramai mesti memahami keperluan kenaikan harga beras putih. Dengan kos import beras putih yang melambung kepada RM4 sekilogram, harga tempatan kita masih tidak berganjak sejak 2008.

"Tiada tindakan kerajaan terhadap isu penetapan harga beras putih tempatan amat mengecewakan pesawah tempatan," katanya.

Semalam media melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penguatkuasaan dipertingkatkan bagi menjamin keberadaan beras dalam pasaran dan memastikan tiada pemborong atau pengilang mengaut keuntungan berlebihan.

Sambil menegaskan kepentingan langkah itu, Perdana Menteri berkata, peningkatan penguatkuasaan juga akan memastikan tiada pemborong atau pengilang bertindak mencampurkan kandungan Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Putih Import (BPI) untuk dijual pada harga yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 3:36 PM