FAHMI menyampaikan ucapan perasmian pada majlis perasmian Maxis 5G Advanced Trial Showcase. FOTO Aswadi Alias
FAHMI menyampaikan ucapan perasmian pada majlis perasmian Maxis 5G Advanced Trial Showcase. FOTO Aswadi Alias
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kerajaan merancang membangunkan sistem bagi menjaga hak milik penyedia kandungan terutama portal berita daripada digunakan tanpa kebenaran dan persetujuan oleh pihak tertentu.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, sistem yang dibangunkan itu membolehkan penyedia kandungan asal atau pemilik berita membuat aduan.

"Kemudian pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sebagai contoh, boleh mengambil tindakan.

"Kita belum lagi wujudkan (sistem ini). Tetapi Insya-Allah boleh dibangunkan satu sistem yang mudah supaya hak milik bagi kandungan itu dapat kita jamin bagi (mereka) yang telah menghasilkannya," katanya pada sidang media selepas melancarkan Maxis 5G Advanced Trial Showcase di Suria KLCC di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai wujudnya portal yang mengambil kandungan tanpa memberi 'kredit' kepada pemilik asal.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, ini disebabkan pihaknya melihat banyak bahan berita atau kandungan kadangkala diambil tanpa kebenaran daripada pemilik asal.

"Saya lihat isu hak cipta ini, ia bukan hanya terkesan kepada e-dagang, tetapi sebenarnya banyak berita juga kadangkala diambil tanpa kebenaran daripada pihak asal.

"Inilah antara lain kadangkala mengakibatkan maklumat itu disalah guna, disalah tafsir atau diubah suai seolah-olah itulah yang dilaporkan oleh media asal. Insya-Allah kita akan teliti tentang perkara ini," katanya.

Sementara itu, Fahmi menggesa agar rakyat negara ini untuk mendaftar di sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kerana ia hanya akan dibuka sehingga 31 Mac depan.

"Ambil kesempatan ini kerana data yang terkumpul daripada agensi lain mungkin daripada tahun lalu ataupun beberapa tahun lalu. Jadi, bukan yang terkini.

"Ambil kesempatan ini supaya kita boleh kemas kini maklumat itu. Sekiranya kerajaan ingin menyalurkan bantuan, maka sangat mudah untuk kita peroleh," katanya.

Beliau juga memberi jaminan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa), Cyber Security Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi akan meneliti aspek keselamatan siber dan data dalam sistem PADU.

"Insya-Allah tidak ada apa-apa masalah dari segi keselamatan siber dan keselamatan data. Sangat terkawal kerana pihak Jabatan Perangkaan adalah badan yang selama ini mengumpulkan data," katanya.

Sistem PADU dibuka kepada pengguna bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2024 bagi tujuan kemas kini dan pengesahan maklumat individu, manakala bermula 1 April 2024, data dan maklumat yang dikemukakan dalam sistem itu akan dianalisis berdasarkan kes gunaan untuk menentukan kumpulan sasar bagi penyasaran semula subsidi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 2:39 PM