GAMBAR HIASan
GAMBAR HIASan
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Dua Ahli Parlimen pembangkang mahu kerajaan menangani isu terpalit sistem Pangkalan Data Utara (PADU) yang pendaftarannya dikatakan terlalu perlahan selain masih dibelenggu ancaman keselamatan data peribadi.

Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) membangkitkan persoalan masih ramai yang tidak mendaftar PADU kerana tidak yakin dengan pentadbiran kerajaan khususnya menteri bertanggungjawab.

Namun beliau mengesyorkan kepada kerajaan supaya garis masa pelaksanaan program subsidi bersasar tidak ubah kerana berpandangan manfaatkan daripada program sangat besar.

"Kami pembangkang pun mahukan PADU yang padu sebagai penentu kejayaan program subsidi bersasar yang amat mustahak.

"Setakat 22 Februari lalu, seramai 3.72 juta individu selesai mengemaskini maklumat PADU yang merangkumi sekitar 10 peratus populasi. Hampir separuh adalah penjawat awam iaitu 1.2 juta. Baki 90 peratus belum kemas kini.

"Saya syorkan garis masa pelaksanaan program subsidi bersasar jangan diubah. Penyertaan rakyat sangat rendah, sedangkan manfaatnya besar. Jadi, berikan penerangan agresif. Namun begitu, adakah ini petanda defisit kepercayaan rakyat kepada kerajaan jika tidak kepada menteri?" katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kisah Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengingatkan kerajaan mengenai aspek keselamatan siber yang menjadi keutamaan bagi memastikan rakyat secara sukarela terbabit dalam inisiatif data raya seperti PADU yang diperkenalkan oleh Kementerian Ekonomi.

Tegaskan, aspek itu perlu diberi perhatian serius kerajaan kerana data yang terkandung dalam PADU boleh disalah guna jika tiada jaminan sistem berkenaan berdepan masalah perlindungan data peribadi dan ancaman keselamatan siber.

"Data yang besar dan bermakna adalah tunjang kepada teknologi digital, namun bukan sedikit kita dengar kes salahguna data peribadi rakyat baru-baru ini.

"Isunya, data ini boleh digodam dan telah dibocorkan daripada platform agensi kerajaan. Situasi ini menggambarkan betapa rapuhnya infrastruktur keselamatan siber kita.

"Jika kebimbangan ini tidak surut, maka rakyat tidak percaya untuk memberikan data dan maklumat mereka kepada kerajaan," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 3:52 PM